Friday, March 14, 2008

PTPTN peruntuk RM3b setahun

Petikan dari Berita Harian (14 March 2008)

Kesukaran dapat bayaran balik pinjaman tak jejas pembiayaan pendidikan pelajar

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM3 bilion setahun kepada seramai 482,000 pelajar sebagai pinjaman pendidikan. Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata daripada jumlah itu RM1.2 bilion adalah untuk 182,000 pelajar baru manakala RM1.8 bilion lagi untuk 300,000 pelajar lama. Katanya, walaupun berhadapan dengan kesukaran mendapatkan semula bayaran balik pinjaman, PTPTN tetap menyediakan dana bagi memastikan pemohon baru memperoleh sumber bagi membiayai pendidikan mereka.

"Ini hanyalah anggaran awal, lagipun keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru saja diumumkan. "Sama ada jumlah ini berkurangan atau ditambah bergantung kepada permohonan yang diterima berdasarkan kemasukan pelajar bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah, diploma dan sijil," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Katanya, kegagalan membayar balik pinjaman menyebabkan PTPTN dibebani hutang tertunggak RM700 juta sekali gus menghadapi masalah menyalurkan pinjaman baru kepada mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, katanya masalah peminjam ingkar sudah dapat diatasi selepas pihaknya mengadakan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Imigresen. Daripada 534,000 peminjam di seluruh negara, hanya 40 peratus atau 324,000 menjelaskan pinjaman mengikut jadual, manakala lebih 200,000 masih tidak membuat sebarang bayaran walaupun kebanyakannya sudah bekerja. "Tiada syarat ketat dikenakan tetapi bermula Januari lalu, peminjam perlu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai persediaan untuk pembiayaan pendidikan ke institut pengajian tinggi serta menggalakkan lebih ramai menabung dalam skim itu," katanya.

No comments: