Friday, March 14, 2008

Perkembangan Kes Kehilangan Asmawi Jalaludin


KEHILANGAN ASMAWI JALALUDIN, 11 TAHUN
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai hilang selepas bermain bersama rakannya di taman permainan berhampiran rumahnya di Jalan Pantai Permai 4, Pantai Dalam, di sini, sejak Ahad lalu. Ahmad Asmawi Jalaludin, dikatakan hilang selepas berpisah dengan rakannya di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari rumahnya kira-kira jam 6.30 petang.

2 comments:

arilzura said...

Petikan dari Berita Harian (14 March 2008)

POLIS KENAL PASTI LELAKI CUBA UGUT KELUARGA MANGSA MINTA RM5,000

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai hilang selepas bermain bersama rakannya di taman permainan berhampiran rumahnya di Jalan Pantai Permai 4, Pantai Dalam, di sini, sejak Ahad lalu. Ahmad Asmawi Jalaludin, dikatakan hilang selepas berpisah dengan rakannya di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari rumahnya kira-kira jam 6.30 petang. Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, berkata ibu pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan La Salle, di sini, kemudian cuba mencarinya di kawasan sekitar namun gagal.
"Selepas hampir 24 jam tidak menemui kanak-kanak itu, ibunya membuat laporan di Balai Polis Kerinchi di sini. "Siasatan kita mendapati Ahmad Asmawi kali terakhir dilihat di sebuah pusat permainan video di pusat beli-belah Mid Valley Megamall kira-kira jam 3.30 petang semalam (kelmarin)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, semalam. Beliau berkata, seorang rakan mangsa mendakwa terserempak dengan Ahmad Asmawi berseorangan di kawasan terbabit dan polis segera berkejar ke tempat itu sebaik menerima maklumat, namun gagal menemuinya.
Berikutan itu, polis petang semalam memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan pusat permainan video yang didakwa dikunjungi Ahmad Asmawi itu. Azri berkata, abang kanak-kanak itu serta rakan yang bersamanya sebelum dia dilaporkan hilang dibawa untuk membuat pengecaman rakaman berkenaan tetapi mereka tidak dapat mengecamnya. "Justeru, kita akan panggil rakan Ahmad Asmawi yang mendakwa terserempak dengannya berhampiran pusat permainan video itu untuk membuat pengecaman sekali lagi," katanya kepada pemberita yang mengikuti pasukan polis mencari kanak-kanak terbabit di sekitar pusat beli-belah Mid Valley, di sini, petang semalam. Sementara itu, Azri berkata polis mengenal pasti seorang lelaki yang cuba mengugut keluarga mangsa dan meminta wang tebusan RM5,000 dengan mendakwa Ahmad Asmawi berada bersamanya.
"Kakak kanak-kanak itu, Saodah Jalaludin, 30, menerima SMS daripada seorang individu meminta wang tebusan RM5,000 jika mahukan adiknya semula pada jam 1.40 petang semalam (kelmarin). "Kita sudah mengenal pasti identiti penghantar SMS itu dan sedang menjejakinya," katanya. Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Rozita Abu Hassan, 50, berkata Ahmad Asmawi yang lebih dikenali sebagai Awi itu tidak pernah keluar dari rumah tanpa memberitahunya terlebih dulu. "Ini kali pertama Awi hilang. Saya sangat risaukan keadaannya dan bimbang jika kejadian yang menimpa Nurin (Jazlin Jazimin, 8) dan Sharlinie berlaku ke atas Awi. "Walaupun Awi lelaki, saya tetap risau jika kejadian itu menimpanya," katanya sebak. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Ahmad Asmawi diminta menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22744465 atau mana-mana balai polis berhampiran.

arilzura said...

Petikan dari Harian Metro (17 March 2008)

RANCANG STRATEGI CARI AWI

KUALA LUMPUR: Polis akan ke Sekolah Kebangsaan La Salle di sini, bagi memeriksa sama ada Mohammad Asmawi Jalaluddin atau Awi, 11, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, hadir pada hari pertama penggal baru persekolahan, hari ini.

Langkah berkenaan diambil selepas penantian keluarganya sehingga jam 12 tengah malam tadi berkecai apabila murid tahun lima itu masih tidak pulang ke rumah seperti diharapkan, sedangkan dia sepatutnya mula bersekolah hari ini.

Kegagalan Awi pulang ke rumah pada malam tadi juga mendorong polis melancarkan gerakan besar-besaran mencarinya dan sekali gus menimbulkan andaian kanak-kanak itu bukan sengaja tidak pulang ke rumah, sebaliknya dia hilang disebabkan faktor lain.

Murid itu dilaporkan hilang ketika pulang daripada bermain di taman permainan kira-kira 200 meter dari rumahnya di Jalan Pantai 4, Pantai Dalam di sini, selepas dia dikatakan berpisah dengan rakannya, Aminuddin Saidon, 12, di satu persimpangan kira-kira 50 meter dari rumahnya kira-kira jam 6.30 petang, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, ketika dihubungi awal pagi ini berkata, pihaknya kini menggunakan beberapa strategi termasuk meronda di pusat mainan video bagi mengesan kanak-kanak berkenaan.


“Kami menggunakan strategi yang digunakan ketika mencari Sharlinie Mohd Nashar, 5, serta melakukan pemeriksaan rumah ke rumah.

“Oleh kerana dia masih tidak pulang ke rumah sehingga jam 12 tengah malam tadi, polis akan sekolahnya esok (hari ini) untuk periksa mungkin dia ada datang ke sekolah,” katanya.

Azri berkata, jika benar andaian mangsa tidak pulang ke rumah kerana pergi merayau ke mana-mana, kemungkinan dia pulang semalam memandangkan sesi persekolahan bermula hari ini.

“Malangnya, sekiranya keadaan berlaku sebaliknya, kemungkinan besar mangsa ditahan individu tertentu, maka strategi lain bagi mengesannya perlu dirancang,” katanya.

Menurutnya, pihak polis sudah meminta bantuan Bukit Aman bagi mengesan murid tahun lima itu, namun setakat ini siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kehilangan mangsa.

“Beberapa anggota keluarga mangsa sudah dibawa melihat dan mengecam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Mid Valley yang dikatakan menyerupai kanak-kanak itu, namun masih gagal mengecam Awi.

“Sebelum ini, ibu serta beberapa rakan mangsa turut gagal mengecam gambar kaku iaitu imej daripada CCTV yang diserahkan pihak keselamatan Mid Valley kepada polis,” katanya.

Menurut Azri, gambar statik itu gagal dicam kerana imejnya tidak jelas, tetapi pihaknya akan membawa kakak mangsa, Saodah Jalaluddin, 30, untuk melihat rakaman CCTV berkenaan bagi tujuan pengecaman sekali lagi.

Pengecaman itu bagi mengesahkan dakwaan seorang rakan mangsa, Mohammad Safowan, 12, yang mengaku terserempak Awi di Mid Valley pada petang hari kejadian.

Dalam pada itu, Azri berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti nombor telefon bimbit individu yang menghantar SMS kepada Saodah Rabu lalu, meminta wang tebusan RM5,000 jika ingin mendapatkan kembali Awi.

“Nombor penghantar SMS itu didaftarkan di Sabah, namun sisatan masih lagi dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Saodah berkata, keluarganya tidak lagi menerima SMS berbau ugutan dan berharap adik bongsunya itu segera pulang dan harapannya semakin tinggi apabila ada mendakwa melihat kelibat Awi di Mid Valley pada 7 petang kelmarin.

“Saya bergegas ke tempat yang dikatakan individu terbabit, tetapi malangnya saya hanya terserempak seorang budak lelaki yang kelihatan seakan-akan adik saya,” katanya.

Ibu mangsa, Rozita Abu Hassan, 50, melaporkan kehilangan mangsa selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah namun sehingga kini gagal dikesan.